Kata Aluan Pengarah

KALAM PENGARAH RMC

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

 

Selawat dan Salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW

 

 

 

2016 merupakan tahun yang penuh tanggungjawab kepada Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) sebagaimana harapan dan amanah KUIS untuk memperkasakan penyelidikan dan penerbitan KUIS seiring dengan gagasan pembentukan universiti penuh menjelang 2017. Sejajar itu juga RMC turut diamanahkan untuk memastikan keberadaan KUIS dalam Malaysia Research Assessment (MyRA) dengan pencapaian yang lebih baik.

 

Pusat Pengurusan Penyelidikan yang menumpukan kepada tiga kepakaran pengurusan iaitu Pengurusan Penyelidikan, Pembangunan Penyelidikan dan Penerbitan memulakan tahun 2016 dengan lebih bersungguh-sungguh untuk memperkasakan tiga tumpuan kepakaran ini. Bagi memperkasakan Pengurusan Penyelidikan yang mensasarkan KUIS menyumbang merit lebih tinggi melalui Geran FRGS, disokong dengan penganjuran bengkel pengukuhan penyediaan proposal, coaching mengikut kelompok kluster dan bimbingan mendaftar MyGrant secara berkelompok. Sokongan aktiviti pemerkasaan ini didokong sepenuhnya melalui kepakaran Pembangunan Penyelidikan.

 

Dalam kerangka yang lebih besar, RMC-KUIS turut melaksanakan setiap halatuju dan dasar Pusat yang berkait rapat dengan keberlangsungan KUIS sebagai Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang bukan sekadar menekankan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), bahkan turut menumpukan usaha ke arah kecemerlangan di dalam aktiviti pengurusan penyelidikan, penulisan dan penerbitan selaras dengan keperluan semasa IPT di Malaysia. Bagi mencapai hasrat ini, RMC-KUIS secara berterusan meluaskan jaringan penyelidikan melalui benchmarking, MOU dan MOA dengan pelbagai IPT tempatan dan antarabangsa, agensi-agensi kerajaan dan swasta, termasuklah untuk mendapatkan suntikan dana penyelidikan dan penerbitan.

 

RMC bertekad rapi, dengan amanah yang telah distrukturkan dengan jelas dalam Bengkel Strategi MyRA 2015: Sasaran & Strategi, yang telah mengunjurkan aktiviti bagi tempoh tiga tahun (2016-2018) merangkumi penyelidikan & penerbitan yang lebih berwibawa, berimpak kepada negara bangsa dan menyumbang kepada KPI Universiti.

 

Alhamdulillah, kepercayaan Pengurusan KUIS yang telah memperuntukan sebanyak satu juta ringgit (RM1,000000) untuk aktiviti pengurusan dan pembangunan penyelidikan dan 500 ribu ringgit (RM500,000) untuk aktiviti penerbitan buku dan jurnal bagi tahun 2016 ini, pastinya suatu keputusan yang berwibawa demi memertabatkan keilmuan dan kepakaran warga akademik KUIS khususnya dalam penyelidikan dan Penerbitan. Penerbit KUIS yang telah berperanan secara rasminya bermula 2015 juga sedang giat mengukuhkan kepakaran dalam aspek editorial dan pemasaran, disamping mengadakan bengkel-bengkel penulisan dan penyuntingan.

 

Kami di RMC yakin dan komited, bahawa segala usaha ini bukanlah untuk mencapai KPI Universiti, Pusat/Fakulti mahupun individu di KUIS semata-mata, namun tanggungjawab lebih besar kita di KUIS adalah untuk mencapai Redha Allah SWT melalui pendidikan dan penyelidikan berterusan, ilmu yang dikembangluaskan melalui penulisan demi memperkasa keilmuan ummat Islam seluruh dunia. Tamadun dan Peradaban Ummah perlu terus disuburkan agar kegemilangan Islam kekal bercahaya; dan KUIS adalah antara penyumbang dan penerajunya.

 

Akhir kalam, seiring tagline RMC –KUIS ‘penyelidikan membangun peradaban ummah’,  dan visi KUIS untuk melahirkan Da’i, Ulama dan Umara’, mewakili seluruh warga RMC-KUIS, saya mengharapkan agar semua ahli keluarga KUIS dan luar KUIS mendapat manfaat dari laman web ini. Pihak kami turut mengalu-alukan sebarang pandangan/cadangan penambahbaikan, perkongsian dalam usaha untuk memastikan pengurusan dan perkhidmatan RMC-KUIS dapat  disalurkan dengan sistematik dan terbaik demi kelangsungan kecemerlangan penyelidikan, penulisan dan penerbitan.

 

Jazakallahu Khairan al-Jaza’ dan sekian.

 

Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah

Pengarah,

Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC)

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Lokasi

Facebook

Hadis Pilihan

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Janganlah kamu membenci bapa kamu. Sesiapa yang benci pada kepada bapanya, maka dia kafir."