Contents of e-Jurnal Penyelidikan & Inovasi (e-JPI) Vol.8 No. 1 (April 2021)
1. PELAKSANAAN PENTAKSIRAN PEMBELAJARAN DAN PEMUDAHCARAAN (PDPC) BERASASKAN TEKNOLOGI DI SEKOLAH
Hanifah Mahat, Nurul Adila Anuar, Mohmadisa Hashim, Nasir Nayan, Yazid Saleh
hanifah.mahat@fsk.upsi.edu.my
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
SHOW ABSTRACT
Pentaksiran Berasaskan Sekolah merupakan salah satu transformasi dalam sistem pendidikan. Perubahan dalam bidang pendidikan turut melibatkan kepelbagaian kaedah pentaksiran termasuklah penggunaan teknologi. Artikel ini akan membincangkan pelaksanaan pentaksiran berasaskan teknologi di sekolah. Penggunaan teknologi dalam pendidikan disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memastikan pendidikan negara bergerak seiring dengan pemodenan. Pendidikan Abad ke-21 (PAK-21) telah diperkenalkan bagi memastikan mutu sistem pendidikan dapat dipertingkatkan. Bagi mencapai tujuan kajian kaedah tinjauan melalui edaran soal selidik telah digunakan dalam kajian ini. Populasi kajian terdiri daripada pelajar tingkatan satu di Mukim 12, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. Sampel kajian adalah seramai 210 orang pelajar Tingkatan Satu yang dipilih melalui pensampelan rawak mudah. Data kuantitatif dianalisis dengan menggunakan SPSS yang melibatkan analisis deskriptif (bilangan dan peratus). Hasil kajian menunjukkan bahawa guru kurang menggunakan teknologi semasa proses pembelajaran dan pemudahcaraan. Kaedah pentaksiran guru masih kurang berbentuk teknologi dan ini bertentangan dengan pilihan responden agar guru lebih banyak menggunakan teknologi di dalam kelas. Sekiranya guru tidak bersedia terhadap matlamat penggunaan dan penerapan teknologi didalam kelas menyebabkan amalan PAK-21 tidak berjaya dilaksanakan.
Keywords: Pentaksiran Berasaskan Teknologi, Mata pelajaran Geografi, Pentaksiran Abad Ke-21
2.PAKATAN HARAPAN DAN SENARIO POLITIK KELANTAN: ANALISIS PENGAJARAN POLITIK PASCA PRU 14 (2018-2020)
Saiyid Radzuwan Syed Sopi
pbsaiyid@usm.my
Universiti Sains Malaysia (USM)
SHOW ABSTRACT
Pilihan raya umum ke-14 (PRU 14) menyaksikan bahawa Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Putrajaya (2018-2020), tetapi mereka gagal mendapat sebarang kerusi parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan. Kegagalan PH memperluaskan pengaruh mereka di Kelantan disebabkan oleh beberapa faktor tradisi yang sukar untuk dipecahkan oleh PH. Kajian ini merupakan kajian kualitatif dan bahan-bahan rujukan yang bersifat fizikal dan atas talian dijadikan sumber rujukan. Selain itu, maklumat mengenai perkembangan politik Kelantan juga diperoleh melalui temu bual dengan beberapa responden yang menetap di Kelantan. Justeru, kajian ini mendapati bahawa impian PH untuk memperluaskan pengaruh mereka di Kelantan masih kabur kerana PAS bijak mengatur strategi berpolitik untuk jangka masa panjang dengan memperkukuh sistem pendidikan di bawah YIK, melahirkan ramai penyokong tegar atau pengikut fanatik, menguasai surau dan masjid mengikut ketetapan acuan sendiri dan mengawal pentadbiran kerajaan negeri. Selanjutnya, PH perlu melakukan reformasi pentadbiran yang konkrit seperti melahirkan ramai pemimpin muda yang berketerampilan dan menyuburkan semangat kerjasama dalam kalangan anggota gabungan PH jika mereka masih lagi berminat untuk berkuasa di Kelantan.
Kata Kunci: Pakatan Harapan, pengaruh, strategi berpolitik, kerjasama dan penyokong tegar
3.IMPLIKASI KEJATUHAN HARGA BUAH KELAPA SAWIT DAN PENGARUHNYA TERHADAP PENDAPATAN PENDUDUK SETEMPAT
Rosniza Aznie Che Rose, Shahira Azura Elias
aznie@ukm.edu.my
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
SHOW ABSTRACT
Implikasi kejatuhan harga buah kelapa sawit sememangnya membelenggu penduduk setempat yang berhubungan secara langsung dengannya. Kajian ini fokus kepada peneroka di Felda Palong 6, Gemas, Negeri Sembilan. Objektif utama kajian ialah mengenalpasti kesan kejatuhan harga buah kelapa sawit terhadap pendapatan peneroka Felda, menilai kesan pendapatan terhadap ekonomi penduduk tempatan dan mencadangkan langkah yang sesuai bagi penduduk tempatan dalam menangani isu kejatuhan harga buah kelapa sawit. Kaedah kuantitatif digunakan berdasarkan instrument soal selidik terhadap 234 orang responden dalam kalangan peneroka. Hasil kajian menunjukkan berlakunya penurunan dari segi pendapatan bulanan peneroka selepas berlakunya kejatuhan harga buah kelapa sawit ini. Bukan itu sahaja, ia juga telah menghalang peneroka untuk mencapai kehidupannya ke arah yang lebih selesa kerana kuasa beli dan perbelanjaan mereka menjadi lebih terhad daripada sebelumnya. Namun demikian, berdasarkan hasil kajian yang diperoleh terdapat juga impak yang positif dalam isu yang terjadi, iaitu telah mendorong peneroka untuk lebih berjimat cermat dalam berbelanja dan melakukan simpanan untuk kesenangan pada masa akan datang. Oleh itu diharapkan agar akan adanya penambahbaikan dalam pengurusan ladang buah kelapa sawit dapat memperkasa kualiti hidup peneroka tempatan.
Kata Kunci: Peneroka, Penduduk Tempatan, Pendapatan, Kejatuhan Harga Buah Kelapa Sawit, Pengurusan Ladang Kelapa Sawit,
4.FAKTOR-FAKTOR SOSIAL DAN AMALAN AKHLAK DALAM KALANGAN MURID-MURID SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH DI MALAYSIA
Ab Halim Tamuri, Ahmad Munawar Ismail
abhalim@ukm.edu.my
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
SHOW ABSTRACT
Konflik pasti berlaku dalam kehidupan berumah tangga. Fenomena konflik ni lebih mudah terjadi dalam rumah tangga bermadu disebabkan penglibatan pelbagai pihak. Suami dilihat berperanan penting dalam pengurusan konflik yang berlaku dalam rumah tangga. Sehubungan itu, artikel ini mengemukakan elemen-elemen peranan suami dalam pengurusan konflik rumah tangga bermadu. Kajian ini merupakan kajian kuantitatif dengan teknik Fuzzy Delphi. Pendekatan yang digunakan bagi mengumpul data kajian menggunakan instrumen soal selidik. Seramai 10 orang pakar terlibat bagi pembentukan elemen ini dalam bidang kekeluargaan, kaunseling, komunikasi, psikologi serta suami dan isteri rumah tangga bermadu melebihi 5 tahun. Hasil kajian mendapati enam belas elemen peranan suami dalam mengurus konflik rumah tangga bermadu diterima hasil konsensus kumpulan pakar dengan peratus konsensus melebihi 75%, nilai ambang (d) ≤ 0.2 dan nilai a cut melebihi 0.5 manakala satu elemen ditolak kerana tidak memenuhi syarat tersebut. Dapatan ini menunjukkan bahawa kesemua enam belas elemen peranan suami ini penting bagi mengurus konflik yang berlaku dalam rumah tangga bermadu. Penemuan kajian ini bermanfaat dijadikan panduan kepada suami dalam pengurusan konflik rumah tangga bermadu menurut perspektif Islam.
Kata Kunci: Pendidikan Islam, ibu bapa, guru, akhlak, amalan
5.FAKTOR-FAKTOR PENDORONG PENGAMALAN NILAI-NILAI ISLAM DALAM KALANGAN PELAJAR MALAYSIAN AVIATION TRAINING ACADEMY (MATA), KUANTAN
Annasaii Bin Jamar
annasaii@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
SHOW ABSTRACT
Ketegangan dalam kemelut moral dan akhlak dalam kalangan pelajar menjadi penyumbang kegagalan menterjemahkan nilai-nilai Islam dalam bentuk pengamalan dalam kehidupan seharian pelajar perlu dilaksanakan penilaian agar kefahaman dan pengamalan nilai Islam menjadi asas dalam kehidupan pelajar. Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti faktor-faktor pendorong pengamalan nilai-nilai Islam dalam kalangan pelajar di Malaysian Aviation Training Academy. Kajian ini berbentuk tinjauan dengan menggunakan soal selidik yang diadaptasi yang telah disahkan oleh dua orang pakar penilai dalam bidang pendidikan Islam yang berpengalaman dan mempunyai nilai kebolehpercayaan yang baik. Seramai 169 orang pelajar kursus lesen kejuruteraan penyelenggaran pesawat (cat B1.1) dan lesen juruteknik penyelenggaraan pesawat (cat A1.1) melalui teknik persampelan bertujuan-rawak mudah terlibat dalam kajian ini. Darjah kebolehpercayaan (alfa cronbach) bagi setiap persoalan kajian adalah 0.85 bagi aspek faktor ibu bapa, 0.79 bagi faktor media massa, 0.74 bagi faktor pensyarah dan 0.68 bagi faktor rakan sebaya. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Science, Version 20. Dapatan kajian mendapati faktor pensyarah merupakan faktor yang tertinggi dengan min 4.33, diikuti faktor ibu bapa 4.61, faktor rakan sebaya 3.65 dan media massa 4.50. Akhir sekali, Implikasi implikasi kajian ini menunjukkan bahawa penekanan aspek pengamalan ajaran Islam sangat penting agar pelajar menjadi seorang muslim yang mengamalkan akhlak yang baik dalam kehidupan harian berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah untuk membangunkan sahsiah pelajar yang baik.
Kata Kunci: Faktor pendorong, ibu bapa, media massa, pensyarah, rakan sebaya, pengamalan, nilai-nilai Islam
6.TARBIAH AKIDAH DALAM SURAH MAKKIYAH MELALUI KITAB NAẒARĀT FĪ KITĀBILLAH (FAITH EDUCATION THROUGH MECCAN SURAHS IN NAẒARĀT FĪ KITĀBILLAH)
Siti Zaharah Hamid, Abur Hamdi Usman, Sofiah Samsudin, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin
Fatimahzahara0016@gmail.com
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)
SHOW ABSTRACT
Al-Quran al-Karim diturunkan sebagai penyembuh jiwa dan panduan manusia. Kitab rujukan utama umat Islam ini mengandungi tarbiah dalam pelbagai aspek dan untuk memahaminya ilmu tafsir telah membantu mendalami aspek tarbiah dengan lebih terperinci. Kajian ini menfokuskan kepada unsur tarbiah yang terdapat dalam empat surah Makkiyah dalam Jūz ‘Ammā yang telah digarap dari kitab Naẓarāt fī Kitābillah karya Zainab al-Ghazali (w. 2005), iaitu surah al-Kāfirūn, al-Ikhlāṣ, al-Falaq dan al-Nās. Dengan menggunakan kaedah analisis kandungan, kajian ini mendapati Zainab al-Ghazali (ZAG) adalah tokoh mufassirin wanita dari Mesir yang sangat berdedikasi dalam mendidik generasi Muslim melalui tarbiah. Kaedah yang digunakan oleh ZAG adalah terjemahan secara langsung dengan pendekatan da‘wī dan tarbawī. Kajian ini turut membuktikan unsur-unsur tarbiah akidah dalam surah Makkiyah telah berjaya membina generasi kepimpinan Muslim unggul yang patuh dengan ajaran Allah dan tetap dalam akidah dan ajaran Islam sehingga dapat membina beberapa kerajaan Islam di serata dunia.
Kata Kunci: Zainab al-Ghazali, tarbiyyah, akidah, Makkiyah.
7.PENGGUNAAN INOVASI D.O.M (DISSOLUTION OF MARRIAGE) SMART CYCLE DALAM MENINGKATKAN KEFAHAMAN MODUL PENDIDIKAN ISLAM 2 SIJIL KOLEJ KOMUNITI
Norhana Ahad, Mohammad Fahmi Abdul Hamid, Khairul Azhar Meerangani, Amran Abdul Halim
norhana_ahad@polimelaka.edu.my
Politeknik Melaka
SHOW ABSTRACT
Modul Pendidikan Islam 2 (MPU 1331) merupakan subjek wajib bagi pelajar Kolej Komuniti Malaysia. Kandungan modul ini memfokuskan tentang aspek munakahat dalam Islam iaitu dari urusan awal pernikahan sehingga pembubaran perkahwinan. Topik pembubaran perkahwinan ini menunjukkan tahap penguasaan dan kefahaman yang berbeza kalangan pelajar. Ini kerana perbincangan di bahagian ini yang sarat dengan fakta khusus telah menyebabkan kurangnya penguasaan dan kefahaman di kalangan pelajar. Impaknya dapat dilihat pada peratusan yang rendah bagi hasil pembelajaran kursus (CLO) topik ini sekaligus menunjukkan kelemahan pelajar menguasai topik tersebut. Justeru, tujuan utama kajian ini untuk melihat sejauh mana keberkesanan penggunaan inovasi D.O.M (Dissolution Of Marriage) SMART CYCLE yang direka khusus sebagai alternatif alat bantu mengajar dalam membantu peningkatan kefahaman modul Pendidikan Islam 2. Menggunakan pendekatan kuantitatif, melalui edaran soal selidik kepada 75 orang pelajar yang mengambil modul Pendidikan Islam 2 di Kolej Komuniti terpilih. Seterusnya, analisis min dan korelasi telah digunakan dalam kajian ini. Dapatan menunjukkan persepsi positif pelajar terhadap keberkesanan penggunaan inovasi D.O.M dengan skor min 4.76, selain daripada nilai hubungan signifikan antara kefahaman dan keberkesanan yang menjelaskan keberkesanan inovasi ini dalam meningkatkan kefahaman pelajar tentang topik pembubaran perkahwinan dalam Modul Pendidikan Islam 2.
Kata Kunci: Inovasi; Kefahaman; Pendidikan Islam; Sijil; Kolej Komuniti.
8.LIMITASI PENGGUNAAN KONSEP WAKALAH DALAM SISTEM PENGURUSAN ZAKAT DI MALAYSIA
Muhsin Nor Paizin,Suhaili Sarif
muhsin.paizin@zakat.com.my
Universiti Malaya
SHOW ABSTRACT
Secara umumnya, institusi zakat telah merangka pelbagai dasar dan program sebagai usaha memartabatkan syariat zakat dalam kalangan umat Islam. Salah satu usaha yang dilaksanakan adalah sistem wakalah. Kajian ini berhasrat menjelaskan tentang perkembangan terkini sistem wakalah dalam institusi zakat, yang mana pada awalnya hanyalah dalam urusan kutipan iaitu menambah saluran pembayaran menerusi ejen-ejen yang dilantik sebagai wakil dengan balasan mendapat upah komisen. Perkembangan terkini menunjukkan telah wujud sistem wakalah dalam agihan di mana masyarakat menjadi wakil bagi pihak institusi zakat untuk mengagihkan zakat sendiri kepada asnaf. Sungguhpun begitu, terdapat limitasi dalam penggunaan istilah konsep ini di institusi zakat, yang mana istilah wakalah hanya digunakan dalam dasar pengembalian wang zakat sungguhpun pada asalnya konsep wakalah boleh digunapakai dalam banyak aspek lagi. Atas permasalahan ini, kajian ini memilih jalan agar konsep wakalah dalam pengurusan zakat diletakkan tidak terhad semata-mata kepada dasar pengembalian semula wang zakat, malah turut terpakai dalam bentuk yang lain, di mana sistem wakalah ini telah dipraktikkan dalam sistem kutipan dan agihan sedia ada. Dapatan kajian ini diharap dapat memberikan gambaran bahawa konsep wakalah ini merupakan langkah strategik yang perlu diperluaskan oleh institusi zakat atau sebaliknya.
Kata Kunci: zakat, wakalah, perwakilan, kutipan, agihan
9.PEMBANGUNAN MODEL AKTIVITI MASSIVE OPEN ONLINE COURSES (MOOC) UNTUK BAHASA ARAB DI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI (IPT)
Ghazali bin Zainuddin, Mohammad Imran Ahmad, Mohd Shahrul Nizam Mohd Danuri, Norfaezah Mohd Hamidin, Nor Effendy Ahmad Sokri, Sofia Noraina Bt Isa, Irwan Mahazir Ismail, Mohammad Najib Jaffar, Siti Rosilawati Ramlan
ghazali@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Platform MOOC telah dijadikan salah satu platform utama sebagai proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia disebabkan pandemik covid-19 yang telah menular di seluruh dunia sejak Disember 2019. Namun, MOOC untuk PdP bahasa Arab di Malaysia masih baru dan masih kurang panduan yang jelas bagi membangunkan aktiviti pembelajaran bahasa Arab yang menarik dan berkesan dalam memenuhi keperluan pelajar yang mengambil kursus bahasa Arab. Justeru itu, pembangunan model aktiviti MOOC untuk bahasa Arab boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif penyelesaian. Model ini dibangunkan berpandukan kepada kesepakatan pakar seramai tujuh orang menggunakan Interpretive Structural Modelling (ISM). Enam langkah utama yang terlibat dalam pembangunan model adalah bermula dengan mengenal pasti elemen-elemen yang berkaitan, mewujudkan hubungan antara pemboleh ubah, membangunkan matriks struktur interaksi kendiri (SSIM), penjanaan model daripada pendekatan ISM, pembentangan model kajian dan langkah terakhir melibatkan persembahan serta pindaan model akhir kajian. Sebanyak enam elemen dikenal pasti oleh barisan pakar bagi pelaksanaan aktiviti MOOC untuk bahasa Arab. Elemen yang menjadi keutamaan adalah elemen menentukan pedagogi bagi aktiviti pembelajaran MOOC untuk bahasa Arab dan diakhiri dengan elemen menentukan aktiviti perbincangan secara kolaboratif dalam kalangan pelajar dan pengajar.
Kata Kunci: Model Aktiviti, MOOC Bahasa Arab, Interpretive Structural Modelling (ISM)
10.PELANTIKAN HAKIM DI MAHKAMAH SYARIAH: ANALISIS BERDASARKAN HUKUM SYARAK DAN UNDANG-UNDANG
Mohamad Hafifi Hassim, Nor ‘adha Ab Hamid, Nurzulfah Md Abdul Salam, Mohd Farok Mat Nor
hafifi@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Hakim ataupun Kadi ialah seorang yang dilantik oleh pemerintah untuk memutuskan dan menyelesaikan pertikaian, tuntutan dan persengketaan masyarakat. Hakim merupakan tunggak kepada sistem keadilan dan sebahagian daripada sistem sesebuah negara. Ulama telah menetapkan dan membincangkan dengan panjang lebar tentang syarat-syarat dan kriteria pelantikan seseorang itu ke jawatan hakim. Malaysia mengamalkan sistem dwi undang-undang iaitu undang-undang sivil yang berteraskan undang-undang Inggeris serta undang-undang Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis. Oleh yang demikian, maka wujudnya sistem dwi mahkamah, iaitu mahkamah awam dan mahkamah syariah. Hakim-Hakim di mahkamah awam mempunyai kaedah dan tatacara lantikannya seperti mana yang telah diperuntukkan dalam undang-undang. Begitu juga dengan pelantikan hakim-hakim di mahkamah syariah, ianya termaktub dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri masing-masing. Oleh yang demikian, kajian ini akan mengupas mengenai syarat-syarat, kriteria dan pelbagai aspek yang berkaitan dengan hakim di mahkamah syariah. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis dokumen seperti kitab-kitab, makalah ilmiah, buku-buku, jurnal dan statut. Hasil daripada kajian ini akan menjelaskan mengenai item-item penting dalam proses pelantikan hakim di mahkamah syariah. Kajian ini diharapkan dapat membantu dalam menjelaskan mengenai proses-proses pelantikan hakim di mahkamah syariah.
Kata Kunci: Hakim, Mahkamah, Kadi, Keadilan dan al-Qadha.