Contents of e-Jurnal Penyelidikan & Inovasi (e-JPI) Vol.7 No. 2 (September 2020)
1. FAKTOR YANG MENDORONG PELAJAR JURUSAN TEKNIKAL DAN VOKASIONAL TERLIBAT DALAM BIDANG KEUSAHAWANAN
Najmi Hassan
muhdnajmihassan@gmail.com
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
SHOW ABSTRACT
Kajian ini dijalankan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi pemilihan bidang keusahawanan sebagai kerjaya dalam kalangan pelajar teknikal dan vokasional. Kajian berbentuk kuantitatif ini memfokus kepada tiga faktor yang mempengaruhi pemilihan bidang keusahawanan iaitu faktor disiplin, dorongan dan juga tingkah laku. Responden kajian ini terdiri daripada 161 orang pelajar yang mengambil jurusan teknikal dan vokasional di Segamat, Johor. Instrumen kajian yang digunakan adalah soal selidik berstruktur yang mengandungi 19 item yang menggunakan maklum balas skala Likert. Data yang diperolehi pula dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) version 25.0 untuk mendapatkan nilai peratusan. Hasil kajian menunjukkan bahawa faktor yang paling mempengaruhi pemilihan bidang keusahawanan sebagai kerjaya di kalangan pelajar adalah disiplin, diikuti dengan faktor dorongan dan seterusnya faktor tingkah laku pelajar.Kata Kunci: Pelajar teknikal dan vokasional, bidang keusahawanan
2. ANALISIS PEMIKIRAN SIFAT ALLAH MENURUT MUHAMMAD BIN YUSUF ATFAIYSH (AN ANALYSIS ON THE ATTRIBUTES OF ALLAH ACCORDING TO MUHAMMAD BIN YUSUF ATFAIYSH)
Mustafa Kamal Bin Amat Misra, Nurhanisah Binte Senin, Muhammad Faiz Mukmin Bin Abd Mutalib, Abdull Rahman Bin Mahmood, Jaffary Bin Awang
mustafakamal@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Keakraban Ibādhīyah dengan Ashācirah diakui oleh ulama’ yang cenderung dengan faham Ashācirah kontemporari seperti Muhammad bin Abu Zuhrah. Ia turut diakui oleh pengkaji Ibādhīyah kontemporari seperti Mustafa Wentan. Menariknya dalam dunia Ibādhīyah, tokoh yang berjaya membawa pengaruh baru dalam terjemahan ilmu kalam adalah Muhammad bin Yūsuf Atfaīsyh. Seperti kajian Wentan terhadap perbahasan Afcal al-Ibad Atfaisyh, hasil kajiannya mendapati pemikiran Atfaisyh terhadap afcal al-‘Ibad tersebut adalah mirip dengan pemikiran af’cal al-‘Ibad Asyhcariyyah dan menyalahi pemikiran afcal al-‘Ibad Muctazilah dan jumhur ulama Ibadhiyyah sebelumnya. Justeru, dengan menggunakan metode perpustakaan, kertas kerja ini mengkaji pemikiran Muhammad bin Yūsuf Atfaīysh terhadap perbahasan sifat Allah. Kajian ini mendapati, dalam konteks sifat Allah, Atfaisyh masih berpegang dengan pemikiran sifat sebagai ‘ayn zat dan bukan za’idah ‘ala dhat seperti pendirian Muctazilah. Ini menunjukkan, dalam konteks sifat Allah, Atfasiyh masih mengekalkan tradisi pemikiran Ibadhiyah yang majoritinya menganggap sifat Allah itu adalah dhat Allah.
Kata Kunci: Muhammad bin Yūsuf Atfaīsyh, Sifāt Allah, Ibādhīyah
3. PEMBINAAN MODUL AMALI SAINS SUKAN (MASS) BAGI KEPERLUAN PELAJAR SAINS SUKAN TINGKATAN ENAM
Abdul Hadi Salleh, Mohd Izwan Shahril, Gunathevan Elumalai & Saidil Mazlan Abdul Razak
sekolahsukan@gmail.com
Universiti Pendidikan Sultan Idris
SHOW ABSTRACT
Pentaksiran amali Sains Sukan di Tingkatan Enam perlu dilaksanakan secara sistematik dan realistik meliputi keseluruhan isi kandungan mata pelajaran Sains Sukan Tingkatan Enam. Namun begitu, konteks pentaksiran yang ada tidak meliputi keseluruhan tajuk, tidak mesra guru dan pelajar serta menyukarkan guru dalam memberikan pemarkahan yang tepat. Tujuan utama kajian ini adalah untuk membina Modul Amali Sains Sukan Tingkatan Enam. Kajian ini menggunakan reka bentuk kaedah quasi eksperimental (non equivalent group). Sampel kajian terdiri daripada 75 pelajar perempuan dan 57 pelajar lelaki yang dipilih secara intact sampling daripada empat buah sekolah Tingkatan Enam di Negeri Kedah. Proses pembinaan Modul Amali Sains Sukan (MASS) ini berpandukan kepada model Hannafin Peck (2011) dan Model Pengujian Morrow (2016). Selain itu, teori-teori berkaitan yang dijadikan sebagai rujukan antaranya teori Konstruktivisme Vygotsky (1978), Model Kurikulum Wheeler (1967) dan Model Hierarki (2013). Kesemua teori dan model ini digunakan sebagai rujukan dalam membina modul secara keseluruhan. Perbincangan kajian tertumpu kepada proses pembinaan Modul Amali Sains Sukan serta rubrik pentaksiran yang menilai keseluruhan amali yang dilaksanakan oleh pelajar Sains Sukan Tingkatan Enam. Hasil daripada kajian ini, penyelidik dapat menghasilkan modul dan juga rubrik yang standard bagi menilai dan menaksir perlaksanaan amali Sains Sukan Tingkatan Enam dengan lebih sistematik, mesra guru dan pelajar serta memenuhi kriteria kandungan kurikulum Sains Sukan Tingkatan Enam.
Kata kunci: Modul Sains Sukan, pelajar Sains Sukan, Tingkatan Enam, pentaksiran
4. AMALAN PERWAKILAN PEGUAM SYARIE DALAM ISLAM THE PRACTICE OF REPRESENTATION BY SYARIE LAWYER IN ISLAM
Nur Zulfah Binti Md Abdul Salam, Nurul Farhana Binti Yahaya, Muhammad Hafifi Bin Hashim & Sharifah Hana Abd Rahman
nurzulfah@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Peguam Syarie merupakan satu pihak yang berperanan dalam membantu pertikaian yang terjadi antara pihak-pihak. Amalan pelantikan Peguam Syarie dalam Islam telah dilaksanakan sejak zaman Rasululllah s.a.w dan para sahabat. Walau bagaimanapun, pada ketika itu orang perantara pihak yang bertikai tidak disebut sebagai peguam syarie sebaliknya hanyalah dipanggil sebagai wakil. Sistem al-wakalah bi al-khusumah diperkenalkan dalam Islam yang membawa makna perwakilan bagi pihak yang bertikai menjadi model dalam perundangan Islam sekaligus memperkenalkan pelantikan peguam syarie bagi menyelesaikan pertelingkahan atau permasalahan yang terjadi antara pihak-pihak. Kajian ini memfokuskan kepada sejarah pelantikan peguam syarie bermula dari zaman awal Islam sehinggalah kini yang meletakkan peguam syarie sebagai suatu profesion yang tidaklah seharusnya dipandang enteng. Kajian ini menggunakan metodologi kualitatif yang menggunakan kaedah temubual, observasi serta merujuk penulisan-penulisan ilmiah, jurnal dan buku yang berkaitan perbincangan. Hasil dapatan mendapati, amalan pelantikan peguam syarie ketika itu adalah berasas dan terbukti mampu menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi pihak-pihak. Pelantikan peguam syarie ketika ini merupakan satu keperluan kepada setiap pihak. Institusi kehakiman syarie ketika ini wajar meletakkan satu garis panduan berkenaan keperluan pihak-pihak untuk diwakili oleh peguam syarie supaya dapat memartabatkan profesion perundangan dan kehakiman sekaligus melahirkan nilai efisen, integriti dan membentuk satu revolusi kepada perkembangan dunia perundangan syarie. Justeru penggubalan kepada Akta Guaman Syarie bakal menjadi rujukan peguam syarie dalam menjalankan profesionnya sekaligus mematuhi kehendak, keperluan dan disiplin profesion dengan baik
Kata Kunci: Peguam Syarie, Syarie, perundangan, kehakiman, wakalah
5. KEUTUHAN KEIMANAN JATI DIRI REMAJA MELALUI KISAH DALAM AL-QURAN
Nurzatil Ismah binti Azizan, Zulkifli Mohd Yusoff
nurzatil@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Jati diri remaja di dalam al-Quran dibentuk dengan asas utama iaitu keteguhan keimanan kepada Allah SWT, ia dipaparkan dalam kisah-kisah remaja di dalam al-Quran. Proses pembentukan jati diri menekankan aspek spiritual yang menyumbang pengaruh terbesar kepada proses tersebut. Ia berikutan keimanan dalam diri adalah aspek paling penting bagi seorang muslim. Iman merupakan aspek yang membezakan antara individu dengan individu lain. Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk menganalisis proses pembentukan jati diri remaja khusus berkenaan keteguhan keimanan kepada Allah SWT walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan. Kajian ini menggunakan pendekatan kajian kualitatif dengan rekabentuk kajian pensejarahan. Instrumen yang digunakan ialah dokumen iaitu al-Quran seterusnya dianalisis dengan pendekatan induktif. Dapatan kajian menemui bahawa remaja di dalam al-Quran membentuk jati diri dengan keteguhan keimanan kepada Allah SWT dengan asas tauhid dalam menghadapi pelbagai situasi kehidupan untuk mempertahankan akidah. Ia menjadikan kisah-kisah remaja dalam al-Quran wajar dijadikan contoh kepada remaja pada masa kini dalam proses membentuk jati diri khususnya meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
Kata Kunci: Keutuhan keimanan, jati diri, remaja, kisah, al-Quran
6. NASYID SEBAGAI WASILAH DAKWAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT KONTEMPORARI
Ahmad Sahlan Abdul Hatim & Mohd Nizam Sahad
sahlan2903@gmail.com
Universiti Sains Malaysia
SHOW ABSTRACT
Hiburan berbentuk muzik dan nyayian adalah sinonim dengan gaya hidup masyarakat kontemporari pada masa kini. Menyedari kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemar kepada hiburan, maka ia perlu dipandu dengan pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonisme yang terus berleluasa. Hal ini kerana pengaruh sekular yang semakin menular ke dalam seni muzik hari ini menyebabkan ia dinikmati semata-mata untuk berhibur, bersuka ria, melepaskan hawa nafsu dan ingin bebas daripada kongkongan agama. Bertitik tolak daripada itu, nasyid dilihat sebagai hiburan alternatif kepada pelbagai peringkat lapisan masyarakat di dalam menghayati seni muzik dan nyanyian yang bersesuaian dengan landasan syarak. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menganalisis konsep nasyid sebagai wasilah dakwah dan peranannya dalam mengukuhkan penghayatan agama yang merangkumi aspek akidah, ibadah dan akhlak dengan menggunakan kaedah analisis kandungan dan hasil kajian dalam bentuk buku, jurnal dan kertas kerja. Di samping itu, analisis kandungan dan tematik terhadap lagu kumpulan-kumpulan nasyid di Malaysia turut digunakan di dalam kajian ini. Hasil kajian mendapati bahawa nasyid merupakan wasilah dakwah yang mampu mendidik masyarakat untuk lebih memahami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan. Justeru, nasyid dilihat sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada perkembangan dakwah pada hari ini yang memerlukan kepada kepelbagaian pendekatan yang bersesuaian dengan golongan sasaran.
Kata Kunci: nasyid, wasilah dakwah, masyarakat
7. PERBAHASAN DR. FAḌAL ḤASAN ʿABBAS BERKENAAN KEDUDUKAN AḤRUF SABʿAH
Mohd Farid Ravi Abdullah, Muhammad Aizat Syimir bin Rozani
faridravi@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Al-Quran adalah kitab terakhir yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan memiliki keistimewaan serta keutamaan yang tersendiri berbanding kitab-kitab sebelumnya. Salah satu kelebihan tersebut adalah diturunkan Al-Quran dalam tujuh huruf (Aḥruf Sabʿah). Para ulama berbeza pendapat dalam memahami makna Aḥruf Sabʿah dalam Al-Quran. Allah SWT telah memilih bahasa ʿarab dalam menurunkan Al-Quran al-Karīm, ini kerana satu-satunya bahasa yang unik dan luas maknanya berbanding dengan bahasa yang lain. Bahasa ʿarab sangat sinonim dengan kabilah yang memiliki pelbagai dialek yang membezakan antara satu suku dengan suku yang lain. Kefahaman yang salah tentang aḥruf sabʿah akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan mendedahkan mereka kepada serangan pemikiran. Justeru, kajian ini menggunakan metode kualitatif kepustakaan untuk menganalisa teks. Hasil kajian mendapati bahawa Aḥruf Sabʿah ialah tujuh dialek arab yang mengandungi aras tatabahasa ʿarab yang tinggi. Dapatan dari kajian ini membuktikan bahawa Dr. Faḍal Ḥasan ʿAbbas berpendirian Aḥruf Sabʿah adalah tujuh dielek ʿarab yang tersohor dan tertinggi dari sudut penggunaanya dan dimaklumi oleh kabilah-kabilah ʿʿarab di jazīrat al-ʿArābiyyah. Juga kajian membuktikan bahawa Dr. Faḍal Ḥasan ʿAbbas berpendapat bahawa Aḥruf Sabʿah tiada kaitannya dengan qiraat sabʿah.
Kata kunci: Al-Quran, dialek, Al-Aḥruf al-Sabʿah
8. FAKTOR PEMILIHAN PEMIMPIN PENDAPAT DI INSTAGRAM (INSTAFAMOUS): ADAKAH MEMBERI KESAN KEPADA GAYA HIDUP REMAJA?
Normazaini Saleh, Wawarah Saidpudin, Nursyamimi Harun, Marhaini Abdul Ghani, Nur Hazwani Ahmad Damanhuri
normazaini@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Pemimpin pendapat adalah individu yang boleh mempengaruhi pandangan dan tingkah laku pengikut mereka. Dengan munculnya media sosial baru seperti Instagram, telah melahirkan individu terkenal (instafamous) yang mungkin memberi impak kepada pengguna media sosial terutama remaja terhadap gaya hidup dan nilai yang menjadi pegangan mereka. Oleh itu, adalah penting untuk mengenal pasti siapa (instafamous) yang mereka ikuti, adakah remaja mengikuti instafamous tersebut berdasarkan personaliti atau kredibiliti, dan kesan pengaruh instafamous ini terhadap gaya hidup mereka. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif. Berdasarkan 546 responden daripada peringkat sekolah menengah dan universiti (umur 15 hingga 24 tahun), kajian ini mendapati bahawa remaja lebih memberi prioriti kepada personaliti yang menarik, popular, aktif dalam media sosial dalam memilih instafamous masing-masing berbanding kredibiliti instafamous itu sendiri. Dapatan kajian juga membuktikan bahawa pemilihan pemimpin pendapat di Instagram berdasarkan personaliti memberi pengaruh yang signifikan terhadap gaya hidup remaja.
Kata Kunci: Pemimpin pendapat, Media sosial, Instagram, Popular, Pemimpin pendapat atas talian
9. PENGARUH PEMASARAN DIGITAL TERHADAP PRESTASI USAHAWAN PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA
Faradillah Iqmar Omar, Ummi Munirah Syuhada Mohamad Zan, Nor Azlili Hassan, Izzurazlia Ibrahim
faradillah@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Kemudahan teknologi Internet membolehkan pelbagai kaedah pemasaran dilakukan secara digital. Para usahawan digalakkan menggunakan kemudahan ini secara optimum bagi mencapai mutu perniagaan yang lebih agresif dan inovastif. Secara spesifik, kertas kerja ini bertujuan untuk meninjau fenomena media digital yang dilihat semakin berkuasa sebagai agen saluran maklumat dan pemasaran seterusnya menguji kesan penggunaannya terhadap prestasi perniagaan. Perkara ini perlu diperhalusi dengan mengambil kira aspek kuasa pemasaran digital terhadap perkembangan prestasi perniagaan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pendekatan kuantitatif berasaskan tinjauan bersemuka telah digunakan dalam kajian ini. Borang soal selidik sebagai instrumen kajian dibentuk berdasarkan kepada domain-domain dalam pemboleh ubah yang telah dikenal pasti. Sampel kajian terdiri daripada 300 usahawan PKS yang berumur 18 hingga 55 tahun yang menjalankan perniagaan di sekitar Lembah Klang. Data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS (Satistical Package for Social Sciences) dan Smart PLS. Hasil kajian menunjukkan bahawa tujuan penggunaan, periklanan produk, faedah pemasaran dan reputasi produk mempunyai hubungan yang signifikan dengan prestasi perniagaan usahawan PKS. Hasil analisis pemodelan persamaan berstruktur pula menunjukkan kuasa pemasaran mempengaruhi prestasi perniagaan secara signifikan. Ini menjelaskan bahawa dimensi-dimensi yang mengukur pemasaran digital ini mempengaruhi prestasi perniagaan secara positif dan membantu perkembangan perniagaan ke arah sistem yang lebih efektif.
Kata Kunci: Pemasaran digital, media digital, promosi, prestasi perniagaan, usahawan PKS.
10. AMALAN SYIAH: KEFAHAMAN DALAM KALANGAN PELATIH PELATIH INSTITUT PENDIDIKAN GURU DI SELANGOR
Mohamed Fairooz Mohamed Fathillah, Norasiah Mohammad, Muhammad Faiz Mukmin Bin Abdul Mutalib, Mohd Shairawi Mohd Noor, Hamzah Bin Omar
mfairooz@kuis.edu.my
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
SHOW ABSTRACT
Di sebalik perkembangan Syiah begitu pesat di seluruh dunia, fahaman ini bercanggah dengan fahaman ASWJ yang diamalkan di negara ini. Kebelakangan ini pula Syiah bergerak aktif secara persendirian atau berkumpulan dalam kalangan mahasiswa dan pensyarah IPT. Oleh yang demikian kajian ini bertujuan untuk menganalisis tahap kefahaman terhadap amalan Syiah dalam kalangan pelatih-pelatih Institut Pendidikan Guru di Selangor. Metodologi kuantitatif digunakan dalam kajian ini dan data dikumpulkan melalui analisis dokumen serta instrumen soal selidik. Teknik pensampelan bertujuan (purposive sampling) dijalankan dan analisa dilakukan secara deskriptif menggunakan min dan sisihan piawai. Keseluruhan kajian mendapati pelatih–pelatih Institut Pendidikan Guru di Selangor menerima Syiah sebagai fahaman yang terseleweng dari ASWJ. Walau bagaimanapun masih terdapat pelatih-pelatih yang keliru dalam membezakan antara amalan Syiah dan ASWJ. Dapatan kajian ini diharap dapat membantu merangka dasar baru pendidikan akidah dalam menangani penularan pengaruh Syiah di Malaysia.
Kata Kunci: Syiah, Kefahaman, IPG, Selangor.